EKONOMI BERKHIDMAT UNTUK AQIDAH

Tuesday, May 13, 2008

Dalam Islam ekonomi bukanlah merupakan tujuan, tetapi ia adalah salah satu keperluan manusia dan cara yang lazim bagi mereka agar dapat terus hidup dan bekerja untuk matlamat yang tinggi. Maka ekonomi hanyalah penolong kepada manusia dan berkhidmat untuk akidah serta risalahnya.

Islam merupakan sistem sempurna bagi kehidupan inidividu dan masyarakat. Ajaran Islam merangkumi pelbagai aspek pemikiran, rohani dan akhlak manusia, juga aspek ekonomi, social dan dan politiknya.

Maka ekonomi hanyalah satu bahagian daripada pelbagai segi kehidupan. Meskipun ia merupakan bahagian yang penting, namun ia tetap bukan merupakan dasar daripada asas kehidupan ini, bukan pusat ajaran-ajarannya, bukan matlamat risalahnya, bukan tajuk utama dalam tamadunnya dan bukan tugas utama yang harus dikerjakan umatnya.

Aqidah Sebagai Asas Kepada Sistem Kehidupan
Sistem kehidupan manusia mesti didasari di atas keyakinan menyeluruh tentang alam semesta, kehidupan dan manusia serta hubungannya dengan Tuhan Yang menganugerahkan kehidupan dan menciptakan manusia.

Hanya akidah dan keyakinan seperti ini sahajalah yang mampu berinteraksi dengan akal dan sesuai dengan fitrah semula jadi manusia dalam menafsirkan kewujudan dirinya di alam semesta.

Keyakinan tersebut jugalah yang mampu memberikan jawapan terhadap soalan-soalan yang sentiasa merungsingkan jiwa manusia semenjak dia mulai pandai berfikir dan merenung: Dari Mana? Hendak ke mana? Dan Mengapa?

0 comments: